Saturday, February 26, 2011

Baguskah sistem pendidikan, disiplin dan ko-kurikulum di Malaysia?



      Hari ini kita sering mendengar berita yang kurang menyenangkan tentang sistem pendidikan. Masalah disiplin,"exam oriented",dan pelbagai lagi kelemahan yang dapat kita ubah demi kepentingan semua pihak. Pelajar hari ini dikatakan terlalu "exam oriented", lantas telah menghakis kualiti di dalam pemilihan pelajar. Pelajar yang berjaya bukan pelajar yang bijak dan kreatif, tetapi mereka yang rajin, ulat buku dan sering mengkaji corak soalan dengan membuat soalan-soalan tahun-tahun lepas. Sehinggakan dikatakan bahawa persaingan ini tidak lagi adil kerana ibubapa yang mampu mengahantar anak mereka ke tempat yang mempunyai ramalan terbaik terhadap soalan peperiksaan akan mempunyai kelebihan berbanding mereka yang berpendapatan rendah.
            Mungkin ini menyebabkan fenomena sekarang menjadi songsang, di mana anak orang berada lebih cemerlang berbanding anak mereka dari golongan berpendapatan rendah. Hari ini guru mengajar lebih kepada cara untuk lulus peperiksaan,bagaimana untuk menjawab soalan peperiksaan dan perkara-perkara yang berkaitan.Tidakkah kita memandang ia sebagai fenomena yang pelik? Seharusnya ilmu dituntut bagi menambah pengetahuan. Kemahiran pelajar, penglibatan di dalam kelas, lebih dipandang sepi. Lalu muncul suara-suara yang berbunyi, "graduan menganggur, pelajar tiada kemahiran" dan pelbagai lagi. Itu sebenarnya merupakan peranan sebenar wujudnya ko-kurikulum. Namun ko-kurikulum kini dipandang sepi dan cuma disertai oleh mereka yang benar-benar minat, yang bijak mencari kuasa dan mereka yang hanya ingin mengumpul markah bagi ke asrama penuh atau universiti.
            Pelajar kini kurang nilai formaliti, nilai menghormati majlis, kemahiran bercakap dan disiplin kerana kurang pendedahan terhadap ko-kurikulum. Selalunya, orang yang sama yang akan memenuhi ruang kosong yang ditinggalkan sama ada pada ruang akademik ataupun ko-kurikulum. Sebagai contoh, pelajar cemerlang di sekolah tidak selalu cemerlang ketika bekerja. Ini hakikat. Untuk berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cuma memerlukan penelitian terhadap kertas SPM yang lalu, tanpa menitik beratkan nilai mengapa kita belajar subjek itu. Di sini saya memuji sistem di universiti, yang boleh diadaptasikan di sekolah.
         Berikan markah untuk penglibatan dalam kelas, kehadiran, kuiz (ujian) dan markah itu dibawa untuk markah peperiksaan besar (SPM) supaya pelajar lebih prihatin untuk datang ke kelas dan tidak ponteng. Masukkan ko-kurikulum dalam satu subjek wajib di mana jika subjek ko-kurikulum ini gagal, SPM juga turut gagal.   Begitu juga dengan Pekara Asas Fardhu Ain (PAFA). Perkara ini juga memerlukan gred, supaya ia tidak dipandang remeh kelak.Jika tidak pun, harus jelas gagal atau lulusnya, dan jika gagal, pelajar perlu menerima kesan, samaada mengulangi SPM, atau pelajar yang gagal ko-kurikulum ataupun PAFA akan diterapkan dalam Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) ,supaya PLKN tidak lagi perlu diwajibkan secara rawak. Ini sekadar satu pandangan dari saya yang memerhati sejenak dalam sistem pendidikan tetapi bagi saya ia harus dilihat semula untuk kepentingan semua.

No comments:

Post a Comment